Home Semasa Airbus peserta pameran terbesar LIMA’19 di Langkawi

Airbus peserta pameran terbesar LIMA’19 di Langkawi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Airbus akan mempamerkan keseluruhan rangkaian pesawat komersial, pesawat pertahanan, pesawat angkasa lepas, helikopter serta pelbagai perkhidmatan dan produk berkaitan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019  (LIMA’ 19) minggu depan, sekaligus menjadikan syarikat pengeluar pesawat  yang terbesar pada pameran dwi-tahunan itu.

“Pesawat Airbus yang dipamerkan turut merangkumi pesawat A320neo yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia, pelanggan terbesar bagi pesawat lorong tunggal oleh pengeluar dari Eropah ini.

“Pesawat ketenteraan seperti pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat pengangkut taktikal generasi baharu, dan pesawat saiz sederhana CN235 yang digunakan dalam pelbagai misi pengangkutan, akan turut dipamerkan,” menurut Airbus dalam kenyataan hari ini.

Keunggulan syarikat itu selaku peneraju pasaran helikopter di Malaysia akan diserlahkan lagi melalui pameran helikopter H225M milik TUDM, AS555SN Fennec milik angkatan tentera laut Malaysia, dan pesawat AS365 Dauphin yang dikendalikan oleh agensi penguatkuasa maritim negara.

Airbus akan turut mempamerkan helikopter H145 yang telah dikonfigurasi untuk menyediakan perkhidmatan rawatan kecemasan.

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) akan berlangsung di Langkawi mulai 26 hingga ke 30 Mac 2019. Pameran dwi-tahunan yang memasuki edisi ke-15 ini merangkumi dua segmen utama iaitu segmen aeroangkasa dan segmen maritim.

 

Related Articles

Leave a Reply