NEW DELHI, 28 Feb – Insiden menembak jatuh dua pesawat tempur milik India oleh Pakistan itu, telah meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara, apabila India menuntut membebaskan juruterbangnya, Komander Sayap Abhi Nandan yang ditahan Pakistan.
Memetik laporan berita Agensi, rakaman video yang menunjukkan juruterbang itu ditutup mata dengan darah mengalir pada wajahnya dikongsikan oleh Kementerian Maklumat Pakistan.
Sementara itu, India menyifatkan tindakan Pakistan mendedahkan rakaman itu sebagai kurang sopan.
Serangan udara merentasi Kawalan Garisan (LoC) sempadan de facto memisahkan Kashmir yang ditadbir kedua-dua negara adalah yang pertama sejak perang pada tahun 1971.
Serangan itu berlaku selepas India membedil kem militan di Pakistan sebagai tindak balas pengeboman berani mati yang membunuh sekurang-kurangnya 40 anggota separa tentera India di Kashmir.
Menurut jurucakap Menteri Luar India, Raveesh Kumar semalam berkata, Abhi Nandan dilaporkan hilang selepas pesawatnya ditembak jatuh oleh pesawat tempur pejuang Pakistan di kawasan sempadan Kashmir.
Sementara itu, jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, juruterbang itu dilayan mengikut norma etika ketenteraan.