Kajang, 28 Feb – Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, di atas dua pertuduhan dalam insiden mendatangkan kecederaan dan mengaibkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, dua minggu lalu.
Dalam kejadian 16 Februari lalu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), pada 10.45 pagi.
Susulan kejadian itu, polis menahan Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur keesokannya bagi membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.
Papagomo berhadapan 2 pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan “bodoh” dan Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan di bahu dan leher Syed Saddiq.
Hakim Mahkamah Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah memerintahkan Papagomo membayar wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri ke balai polis sekali dalam sebulan.
Mahkamah juga menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.