Home Semasa Malaysia tidak iktiraf dan layan sebarang tuntutan ke atas Sabah – Wisma Putra

Malaysia tidak iktiraf dan layan sebarang tuntutan ke atas Sabah – Wisma Putra

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kementerian Luar Negeri Malaysia mengulangi bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan sebarang tuntutan ke atas Sabah adalah tidak berasas.

Wisma Putra berkata semalam, Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 Sept 1963 seperti dilapor Bernama.

“Oleh demikian, Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayani sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah,” katanya dalam satu kenyataan mengulas kenyataan Duta Filipina ke Malaysia Charles Jose di Sabah pada 21 Februari bahawa Manila tidak menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

Jose dilaporkan membuat kenyataan itu pada sidang akhbar selepas membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Jahid Jahim mengenai perkara itu, Wisma Putra juga menekankan bahawa Malaysia tidak pernah gagal menegaskan kedudukannya mengenai perkara itu.

“Pada masa yang sama, kenyataan Jahid Jahim boleh mengelirukan dan berpotensi merosakkan hubungan baik yang dinikmati oleh Malaysia dan Filipina pada masa sekarang.

“Hubungan dua hala ini adalah penting bukan sahaja kepada kedua-dua negara malah ke seluruh rantau ini,” tambah beliau.

#Semasa: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Sabah sebahagian dari Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 Sept 1963.

Related Articles

Leave a Reply