Home Pertahanan dan Keselamatan ATM perlu tingkatkan kecekapan risikan untuk hadapi ancaman keganasan – PM

ATM perlu tingkatkan kecekapan risikan untuk hadapi ancaman keganasan – PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu meningkatkan kecekapan risikan dalam mendapatkan maklumat dengan lebih awal tanpa peperangan bagi menghadapi ancaman keganasan.

Beliau berkata ancaman peperangan di Malaysia tidak seperti ancaman di negara lain yang kemungkinan akan diserang oleh negara jiran atau kuasa besar.

“Dengan itu mereka perlu ada angkatan tentera yang besar untuk pertahanan negara, tapi masalah kita sekarang adalah menangani pengganas.

“Tapi masalah kita sekarang ialah masalah menangani pengganas, dan mereka ini bukan dapat kita lihat melalui beruniform dan boleh dikenali, kita tidak tahu siapa dia pengganas.

“Persediaan kita mesti tertumpu kepada maklumat, intelligence (perisikan) mesti lebih awal lagi kenal pasti kemungkinan seseorang menjadi pengganas, kerana ianya sedang dilatih atau ada hubungan rapat dengan puak-puak pengganas.

“Semua ini kita mesti ada perisikan yang memberi maklumat, dengan itu kita boleh bersiap sedia mungkin tidak dengan peperangan , tetapi untuk menangkap dan berusaha menukarkan pemikiran mereka agar tidak menjadi pengganas,” katanya ketika sesi dialog bersama warga ATM sempena lawatan pertamanya di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurutnya, kejayaan memerangi pengganas bukan bergantung kepada keupayaan kita berperang tetapi lebih tertumpu kepada keupayaan kita menyelidik dan mendapat maklumat lebih awal untuk benteras keganasan.

Manakala Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihak perisikan perlu mengumpul maklumat mengenai ancaman pengganas.

‘Kita tidak sedar ada rakyat Malaysia berperang di Iraq dan Syria, kadang-kadang kita tahu ada diantara mereka meninggal dunia.

“Ada isteri mereka datang mengadu kepada kita, bagimana untuk membawa balik jenazah suami mereka. Ertinya ancaman keganasan antarabangsa boleh berlaku dimana-mana, dan diantara mereka disana (Iraq dan Syria) mahu pulang ke Malaysia”, kata Mohamad semasa sesi dialog bersama warga ATM itu.

Beliau berkata, pihak perisikan perlu bekerja keras untuk mengenal pasti siapa pembiaya dan ahli keluarga rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan pengganas di Syria dan Iraq.

Related Articles

Leave a Reply