Home Semasa Syarikat swasta dan GLC disaran bantu veteran tentera – JHEV ATM

Syarikat swasta dan GLC disaran bantu veteran tentera – JHEV ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Jabatan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) mahu syarikat swasta lebih giat dan proaktif membantu kerajaan dalam menjaga kebajikan bakal pesara serta veteran tentera khususnya menerusi program penempatan pekerjaan kepada mereka.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, sokongan pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperlukan terutamanya dalam keadaan ekonomi negara ketika ini yang agak mencabar dan keupayaan kerajaan memberikan peruntukan agak terhad.

Justeru itu kolaborasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bersama syarikat swasta dan GLC, mampu membantu bakal pesara dan veteran tentera untuk mendapatkan pekerjaan.

“Pesara dan veteran tentera merupakan individu terlatih, berdisiplin dan mempunyai kepakaran tertentu yang sesuai dengan permintaan pelbagai industri selain bidang keselamatan.

“Ada kepakaran yang dimiliki veteran ini yang boleh dimanfaat. Kita mempunyai tenaga kerja yang berdisiplin, sihat dan boleh menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan,” katanya selepas program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi.

Dzulkarnain juga berkata bantuan yang diberikan oleh syarikat swasta dan GLC kepada pesara dan veteran ini, bukan sahaja dapat membela kebajikan mereka, malahan juga membalas jasa golongan ini yang telah berkhidmat menjaga keselamatan negara.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply