Home Semasa Yakin MV POLARIS dalam perairan negara – Menteri Luar

Yakin MV POLARIS dalam perairan negara – Menteri Luar

by M.Daim
https://youtu.be/w8Jfejb_5KE

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Menteri Luar, Dato’ Saifuddin Abdullah hari ini menegaskan bahawa kapal Jabatan Laut Malaysia, MV POLARIS adalah berada dalam perairan negara semasa dilanggar oleh kapal pengangkut pukal, Pireas pada Sabtu lalu.

“Polaris berada dalam had garis sempadan pelabuhan Johor Bahru, itu pendirian kita,” kata Menteri Luar.

Menurut beliau, pendirian Malaysia telah disampaikan kepada Singapura.

“Kita yakin bahawa Polaris berada dalam had sempadan negara. Pendirian ini sudah disuarakan kepada Singapura,

Kesan kerosakan pada MV POLARIS akibat dilanggar oleh kapal pengangkut pukal, Piraeus.

“Namun, mereka masih mendakwa bahawa Polaris dalam perairan pertikaian, isu ini kita akan selesaikan,” jelas Saifuddin dalam satu sidang media selepas melancarkan buku ‘10 Prinsip Kesederhanaan Rakyat Malaysia’ di Damansara, hari ini.

Beliau menambah, Malaysia dan Singapura aktif berhubung dan berbincang mengenai banyak perkara.

Sementara itu, sumber yang enggan dikenali berkata, punca kejadian MV POLARIS dilanggar oleh Pireas sepatutnya menjadi fokus utama dalam isu ini.

“Perkara utama yang menjadi persoalan dalam insiden ini adalah mengapa pelanggaran boleh berlaku? Kejadian sebegini memberi makna bahawa wujudnya masalah dalam koordinasi pergerakan laluan kapal di perairan,” kata sumber.

Pada 9 Februari lalu, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA) melaporkan kejadian pelanggaran di antara MV POLARIS dengan Pireas. Menurut MPA, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.28 petang ketika Pireas berlayar dari perairan ke Singapura menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kapal pengangkut yang berdaftar di Greece itu telah memasuki perairan negara pada pukul 2.15 petang sebelum melanggar MV POLARIS yang sedang berlabuh di garis sempadan had Pelabuhan Johor.

Garis sempadan had Pelabuhan Johor telah digazetkan oleh kerajaan pada 25 Oktober 2018.

Tangkap layar dari laman sesawang Marine Traffic yang menunjukkan arah pergerakan kapal Pireas (garisan hijau) ketika sebelum dan selepas kejadian perlanggaran berlaku.

Related Articles

Leave a Reply