Home Semasa Selangor catat kes Chikungunya tertinggi

Selangor catat kes Chikungunya tertinggi

by M.Daim

PUTRAJAYA, 9 Feb – Sebanyak 39 kes Chikungunya direkodkan di seluruh negara dari 1 Januari sehingga 7 Februari lalu dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kes jangkitan Chikungunya telah dikesan di empat negeri iaitu Perlis, Selangor, Kelantan dan melaka.

“Negeri yang melaporkan kes adalah Selangor iaitu sebanyak 23 kes, Melaka 9 kes, Kelantan 6  kes dan 1 kes dari Perlis,” kata Hisham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Pada 1 Februari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan seramai 11 orang pesakit disahkan menghidap penyakit Chikungunya di daerah Kuala Langat Selangor. Sehingga kini, Kementrian Kesihatan Malaysia menyatakan gejala Chikungunya di daerah tersebut masih terkawal.

“Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan di mana sehingga 7 Februari 2019, sebanyak 1740 rumah telah dibuat semburan kabus (fogging) terutamanya di kawasan kejadian kes,

Aktiviti promosi kesihatan mengenai Chikungunya juga telah dilaksanakan dengan mengedarkan 939 risalah kepada penduduk setempat,” kata Hisham dalam kenyataanya.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan turut menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di tempat masing-masing.

Masyarakat juga disaran untuk sentiasa aktif melindungi diri dari ancaman nyamuk dengan menggunakan repelen, semburan aerosol serta bahan pembunuh nyamuk yang lain.

Penyakit Chikungunya adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi. Pesakit yang dijangkiti Chikungunya akan mengalami demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang boleh menggangu pergerakan pesakit.

Related Articles

Leave a Reply