Home Semasa MV POLARIS dilanggar semasa memantau keselamatan perairan negara di Selat Johor

MV POLARIS dilanggar semasa memantau keselamatan perairan negara di Selat Johor

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Kapal milik Jabatan Laut Malaysia, MV POLARIS dilanggar kapal pengangkut pukal berdaftar di Greece, Piraeus di perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor pada hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Laut, Datuk Baharin Abdul Hamid yang mengesahkan kejadian tersebut berlaku dalam perairan Malaysia.

“Kejadian berlaku dalam kawasan had pelabuhan Johor Bahru yang diwartakan. Maka, tidak timbul soal berlakunya pencerobohan ke dalam perairan Singapura.

“Tiada kerosakan teruk yang berlaku pada kapal MV POLARIS. Kesemua 23 anak kapal selamat dan tiada berlaku sebarang tumpahan minyak,” kata Baharin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Baharin turut menegaskan MV POLARIS berperanan untuk melakukan pemerhatian keselamatan dalam perairan pelabuhan.

Sementara itu, Utusan Online melaporkan kapal pengangkut pukal telah diarahkan belayar ke Tanjung Bin yang merupakan kawasan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura (MPA) dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada 2.28 petang ketika kapal pengangkut pukal yang didaftarkan sebagai Pireas itu dalam pelayaran dari Singapura ke hentian seterusnya di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Tangkap layar dari laman sesawang Marine Traffic yang menunjukkan arah pergerakan kapal Pireas (garisan hijau) ketika sebelum dan selepas kejadian perlanggaran berlaku.

Berdasarkan rekod pelayaran kapal di laman sesawang Marine Traffic, kapal Piraeus berlayar mendekati MV POLARIS yang sedang berlabuh di kawasan perairan negara sebelum pelanggaran berlaku.

Kapal MV Polaris kini berada di sempadan perairan Malaysia-Singapura semenjak peluasan Had Pelabuhan Johor dikuatkuasakan. Perubahan Had Pelabuhan Johor telah diisytiharkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 25 Oktober 2018.

Kesan kerosakan pada MV POLARIS akibat dilanggar oleh kapal pengangkut pukal, Piraeus

Related Articles

Leave a Reply