SEMPORNA, 6 Feb – Tiga lelaki warga asing ditahan Angkatan Tentera Malaysia menerusi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) kerana menangkap dan membunuh penyu di perairan Pulau Ligitan, awal pagi ini.
Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata satu Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) dari 18 RAMD diketuai Kapten Mohd Azuan Arif Mohd Nizam digerakkan ke lokasi kejadian dan mengesan bot mencurigakan sebelum menahan suspek berumur antara 25 hingga 45 tahun jam 4.30 pagi.
“Pemeriksaan awal turut menemukan kesemua suspek bersama enam cengkerang penyu yang telah dipotong-potong,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Zarondin kesemua suspek yang tiada pengenalan diri itu turut ditahan atas faktor melanggar perintah berkurung yang ditetapkan di kawasan perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) antara pukul 6.00 petang hingga 6.00 pagi.
Kesemua suspek serta barang rampasan diserahkan ke Markas Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut, katanya.