KUALA LUMPUR, 5 Feb- Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 2 Lumut-Seri Manjung, di Lumut, semalam.
Dalam kejadian 6.05 petang, Pemangku Bintara Kanan Mohd Rizuan Rahimat, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan penumpang wanita berumur 26 tahun yang duduk di bahagian hadapan mengalami patah tangan kiri, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 125Z dan Perodua Bezza yang dinaiki dua individu. Siasatan awal mendapati Perodua Bezza berkenaan dari arah Manjung menghala ke Lumut, manakala mangsa dari arah bertentangan.
“Dipercayai kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun ingin memasuki simpang Jalan Titi Panjang, oleh kerana jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian pintu belakang sebelah kiri kereta tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba,” katanya, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung dan penumpang hadapan kereta berkenaan yang patah tangan kiri turut dirawat di hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.