PUTRAJAYA, 5 Feb – Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam memaklumkan dianggarkan kira-kira 50 rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dilaporkan selamat.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Konsulat Malaysia di Sydney,” katanya.
Menurut Wisma Putra, rakyat Malaysia yang melawat atau tinggal di Townsville, Queensland, Australia dan kawasan yang terjejas banjir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada serta terus mengikuti berita tempatan dan laporan cuaca.
Wisma Putra memaklumkan, amaran dikeluarkan kepada penduduk Townsville mengenai risiko terhadap hidupan dan harta benda selepas pintu empangan Ross River dibuka, menyebabkan kira-kira 1,900 meter padu air sesaat dialirkan dari empangan itu.
“Keadaan masih berisiko tinggi apabila hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang,” katanya.
Banjir yang disifatkan sekali dalam seabad itu telah memaksa ribuan penduduk di timur laut Australia itu meninggalkan rumah masing-masing.