Home Semasa BN janji sebidang tanah, tapi apa pun tak ada – Persatuan Daulat Veteran ATM

BN janji sebidang tanah, tapi apa pun tak ada – Persatuan Daulat Veteran ATM

by Nurulhuda

BALING, 3 Feb – Pengurus Pentadbiran Hal Ehwal Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Persatuan Daulat Malaysia Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen cawangan Mukim Siong, Yunus Ahmad berharap kerajaan PH dapat memberikan perhatian penuh kepada veteran tentera supaya kebajikan mereka terjaga.

Yunus Ahmad berkata, golongan veteran seperti hilang arah tuju sedangkan mereka sewaktu perkhidmatan dididik dengan disiplin tinggi.

Menurutnya, kebanyakannya seperti hilang tempat pergantungan selepas tidak lagi berkhidmat.

“Ramai veteran yang hidup terabai. Dalam veteran, saya pun ramai keadaan rumah mereka terlalu daif.

“Selama ini hanya janji-janji kosong sahaja, tiada apa diberi. Ada juga yang sakit terlantar,” kata Yunus yang dipetik oleh Sinar Harian.

Terdahulu, ADUN Bayu, Abd Nasir Idris diberikan penghormatan diberikan tabik hormat dan memeriksa barisan, di Pekan Kampung Weng.

Katanya, terdapat kes keluarga veteran menunggu bantuan kerusi roda dalam tempoh begitu lama.

“Ramai yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), tetapi tidak menerima perhatian. Bila kita tanya mereka beri alasan terlepas pandang,” katanya.

Namun katanya, hasil penubuhan Persatuan Daulat, nasib golongan veteran terabai dapat disuarakan terus kepada jabatan itu.

“Ini menunjukkan ada gerak, jika persatuan tidak suarakan tiadalah.

“Faktor lain terlepas pandang ini juga kerana golongan veteran tidak mengetahui saluran yang ada untuk memohon bantuan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan terdahulu ada menjanjikan sebidang tanah kepada veteran ATM namun ia tidak ditunaikan.

“Dulu veteran bersara penuh atau sebaliknya kerajaan ada kata nak beri peruntukan sebidang tanah. Tetapi senyap macam itu saja.

“Justeru kita harap kerajaan hari ini bantu ramai veteran ATM yang keadaan mereka serba daif antaranya dengan bina perumahan kos rendah.

“Saya minta jasa baik kerajaan supaya beri perhatian penuh kepada veteran-veteran ATM, barulah pakatan antara rakyat dan kerajaan menjadi baik,” katanya.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply