Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera patahkan cubaan seludup keluar motosikal curi ke Indonesia

Tentera patahkan cubaan seludup keluar motosikal curi ke Indonesia

by Nurulhuda

BAU, 2 Feb – Lima lelaki disyaki warga asing berputih mata apabila cubaan mereka untuk menyeludup keluar motosikal curi di Kampung Stass, berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia telah digagalkan oleh sepasukan anggota tentera. Cubaan menyeludup telah dikesan oleh anggota tentera dari Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja (4KAD) yang sedang melakukan rondaan sekitar jam 5 pagi pada Jumaat.

Menurut sumber, kelima-lima suspek semasa kejadian menunggang empat buah motosikal dalam perjalanan menuju ke arah Indonesia menggunakan laluan tikus.

“Anggota tentera yang melakukan rondaan ‘Op Serkap’ mengarahkan kesemua suspek berhenti untuk pemeriksaan tetapi mereka yang terkejut terus melompat dari atas motosikal dan melarikan diri ke arah Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat motosikal tersebut mengalami kerosakkan pada bahagian kunci penghidup suis,” kata sumber seperti yang dilaporkan oleh Utusan Borneo.

Turut ditinggalkan suspek di tempat kejadian ialah alat pemotong besi. Kesemua motosikal bersama alat pemotong besi tersebut kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah DSP Poge Nyaon mengesahkan perkara tersebut dan menurutnya hasil siasatan mendapati keempat-empat motosikal tersebut pernah dilaporkan hilang.

“Dua daripada motosikal tersebut dilaporkan hilang dipercayai dicuri malam tadi di Taman Janting,” katanya.

Siasatan lanjut polis berhubung kejadian masih dijalankan.

 

Related Articles

Leave a Reply