Home Pertahanan dan Keselamatan 471 Wataniah Sarawak kini anggota tetap Tentera Darat

471 Wataniah Sarawak kini anggota tetap Tentera Darat

by Noor Sheila Amin

SIBU, 30 Jan – Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan Mohd Anuar Rijaludin dalam satu kenyataannya memakumkan seramai 471 anggota kerahan yang terdiri daripada 436 lelaki dan 34 wanita telah diluluskan untuk diserap ke angkatan tetap tentera darat di Kem Junaco, semalam.

Menurut beliau, daripada jumlah itu 268 anggota telah selesai mengangkat sumpah dan dipecahkan mengikut zon di seluruh negara.

“Zon Tengah telah dilaksanakan pada 11 Oktober 2018 di Bahagian Pasukan Simpanan, Zon Pantai Timur pada 17 Oktober 2018 di Kem Batu Melintang, Kelantan dan Zon Utara pada 1 November 2018 di Kem Bukit Cowder, Perlis,” katanya.

“Pada hari ini, seramai 118 anggota akan mengangkat sumpah dan seterusnya menyertai anggota tetap TD (Tentera Darat).

“Bahagian pasukan simpanan akan cuba sedaya upaya menyelesaikan baki tertangguh itu dengan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Upacara Angkat Sumpah Anggota Kerahan Ke Angkatan Tetap MAT Ke-566 di Kem Junaco di sini, semalam.

Jelasnya, disebabkan faktor kehendak semasa daripada pucuk pimpinan TD dan kekangan dari segi perubahan jadual yang tidak dapat dielakkan menyebabkan upacara tadbir sumpah tidak dapat dibuat secara serentak.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata upacara tersebut merupakan satu kejayaan dan merupakan detik bersejarah apabila diberi peluang menjadi sebahagian daripada warga tetap TD setelah berkhidmat dengan cemerlang dalam Askar Wataniah (AW).

“Jadilah warga tentera yang profesional dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas agar angkatan kita sentiasa digeruni,” tegasnya.

“Bersainglah secara sihat dalam mengejar kerjaya masing-masing, jadikan disiplin sebagai teras dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan dalam tentera,” ujarnya.

Beliau turut menasihati semua anggota yang terbabit agar terus menjaga nama baik Angkatan Tentera Malaysia dan TD khasnya.

Related Articles

Leave a Reply