Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM pantau pembebasan Abu Bakar Bashir – KPN

PDRM pantau pembebasan Abu Bakar Bashir – KPN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Ulama radikal, Abu Bakar Bashir akan dipantau rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika beliau dibebaskan oleh kerajaan Indonesia.

Pemantauan berkenaan perlu dibuat susulan terdapat elemen-elemen kegiatan Jemaah Islamiah (JI) di negara ini, katanya seperti dilaporkan Bernama.

“Jadi proses pemantauan ini sedang berlaku agar beliau (Abu Bakar) tidak terlibat dalam usaha merekrut atau menghidupkan kembali perjuangan lampaunya berkaitan dengan JI.

“Kes JI di negara ini mempunyai kaitan dengan kegiatan beliau sebelum ini maka ada elemen-elemen berhubung kes berkenaan,” katanya selepas hadir serah terima tugas pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman akan menghubungi Polis Republik Indonesia (Polri) bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai Abu Bakar.

“Kami tidak mahu agar pembebasan beliau ini menimbulkan masalah keselamatan baharu terutamanya dari segi usaha menghidupkan JI atau lain-lain elemen ekstrem radikal berkaitan kegiatannya,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam kenyataannya pada dua minggu lalu mengumumkan bahawa Abu Bakar, 81, akan dibebaskan lebih awal atas alasan kemanusiaan, berdasarkan faktor usia dan kesihatannya.

Beliau dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.

Related Articles

Leave a Reply