Home Pertahanan dan Keselamatan Tempahan ruang pameran LIMA’19 capai paras 104%

Tempahan ruang pameran LIMA’19 capai paras 104%

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kementerian Pertahanan Malaysia hari  ini menyatakan tempahan ruang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi  2019 (LIMA’19) mendapat sambutan yang meberangsangkan.

Perkara tersebut disampaikan oleh pihak kementerian dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada hari ini.

“Setakat hari ini, peratusan tempahan ruang pameran telah menjangkau 104% dengan jumlah keseluruhan tempahan ruang pameran seluas 10,519 meter persegi terdiri daripada 350 buah syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa yang melibatkan 29 buah negara,

“LIMA ‘19 turut menerima penyertaan 12 Pavilion Negara iaitu Australia, Belarus, China, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Slovakia, Turki, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat,” jelas kementerian dalam kenyataan tersebut.

Selain daripada itu, peningkatan penyertaan ini membuktikan minat dan keyakinan tinggi syarikat-syarikat industri pertahanan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama dengan industri sedia ada dan juga menarik lebih ramai pemain industri antarabangsa.

LIMA’19 merupakan siri ke-15 pameran itu sejak kali pertama diadakan pada tahun 1991. Penganjuran LIMA kali ini dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan dengan tema “Defence and Commercial
Connecting Intelligence” akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac 2019.

Penganjuran bersama oleh kedua-dua kementerian adalah bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan sektor komersial dalam pameran tersebut. Pada masa yang sama, langkah ini dapat memperkukuhkan segmen pertahanan aeroangkasa dan maritim sedia ada. Pameran tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pameran akan melibatkan dua lokasi utama iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bagi pameran, persidangan antarabangsa, seminar, pameran statik dan pertunjukan udara, manakala Resort World Langkawi (RWL) bagi pameran kapal perang, pameran statik maritim dan demonstrasi maritim.

Pameran di MIEC dibuka kepada pelawat awam pada 29 dan 30 Mac manakala pameran segmen maritim di RWL dibuka kepada semua dari 26 hingga 30 Mac 2019.

Seperti edisi-edisi terdahulu, penganjuran LIMA menunjukkan kejayaan Malaysia dalam menganjurkan pameran bertaraf antarabangsa setanding dengan penganjuran pameran pertahanan dunia yang lain.

 

Related Articles

Leave a Reply