Home PolitikBarisan Nasional Kekecohan Pos Lenjang: BN Pahang serah kepada Polis – Wan Rosdy

Kekecohan Pos Lenjang: BN Pahang serah kepada Polis – Wan Rosdy

by Nurulhuda

TANAH RATA, 21 Jan – Barisan Nasional (BN) Pahang menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat insiden kekecohan di penginapan Umno Rompin di Pos Lenjang, Kuala Lipis semalam, kata Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat calon BN dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

“Perkara ini sekarang dalam tindakan polis jadi kita tunggulah,” katanya, selepas merasmikan Dewan Puncak Arabella di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata situasi masih terkawal dan beliau tidak menjangkakan sesuatu yang lebih buruk akan terjadi.

Hari ini tular di laman sosial laporan polis yang dibuat Ramli berhubung insiden itu pada jam 3.42 pagi tadi.

Dilaporkan, sebuah video yang menunjukkan penginapan Umno Rompin di Pos Lenjang didatangi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Naib Pengerusi DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama beberapa individu yang didakwa tidak berpuas hati selepas jentera BN dikatakan ‘menangkap’ ahli PH menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen.

Video yang menunjukkan jentera BN bertelingkah dengan individu yang pakaiannya tertera logo PH itu bersama sebuah kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di sebalik bendera Jalur Gemilang itu turut tular sejak semalam.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata BN tidak gentar dengan kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan pada 25 Januari ini.

“Kita serah kepada rakyat untuk menilai, Tun (Dr Mahathir) dia perdana menteri, dia boleh datang mana-mana pun,” tegas Rosdy.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply