Home Politik Isu bekalan eletrik Kampung Raja perlu diselesaikan segera – M Kayveas

Isu bekalan eletrik Kampung Raja perlu diselesaikan segera – M Kayveas

by Nurulhuda

CAMERON HIGHLANDS, 20 Jan – Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas menggesa kerajaan Negeri dan Persekutuan mengambil serius tuntutan penduduk Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa di Kampung Raja yang masih tiada bekalan eletrik serta air bersih.

Menurut beliau, kerajaan perlu ada sikap perikemanusian walaupun penempatan di situ didirikan secara tidak sah.

“Walaupun tak dapat Lesen Pendudukan Sementara (TOL) tapi ada keluarga yang mempunyai anak-anak dan warga emas. Mereka ini mesti jadi tanggungjawab kerajaan Negeri dan Pusat,” katanya kepada media semasa kunjungan ke kampung itu pada Sabtu.

Katanya, beliau pernah membawa isu tersebut semasa dalam BN tetapi diberi amaran supaya tidak masuk campur.

“Oleh kerana saya bukan wakil rakyat, saya tak boleh suara kepada umum. Wakil rakyat akan marah dan kata saya nak ganggu dia punya kuasa.

“Bila ada PRU kita mesti bawa isu ini melalui saluran tertentu. Tetapi saya diminta supaya tidak sentuh isu kampung ini,” dakwanya.

Wakil penduduk, Saleh Mat Saman, yang menetap di Cameron Highlands sejak 1974, seperti dilaporkan Sinar Harian berkata ketiadaan elektrik dan bekalan air bersih menyukarkan mereka menjalani kehidupan seharian.

Katanya, untuk mendapatkan bekalan elektrik mereka terpaksa menggunakan generator berharga RM3,000 ke atas.

“Banyak wakil rakyat datang sejak 1999 janji sama kami akan usaha tapi sampai sekarang tidak ada apa. Bila kita mohon, mereka kata nak bantu tapi senyap tanpa sebarang berita,” katanya.

Saleh berkata penduduk berusaha mendapatkan status tanah yang sah supaya bekalan elektrik dan air bersih boleh dibawa masuk, tetapi tidak dilayan kerajaan negeri.

 

 

Related Articles

Leave a Reply