Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRK Semenyih: PAS beri laluan pada BN

PRK Semenyih: PAS beri laluan pada BN

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 17 Jan – PAS memutuskan untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada tarikh yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bermesyuarat semalam, memutuskan untuk tidak akan meletakkan calon parti itu untuk kerusi DUN berkenaan.

“Dengan itu, proses semak dan imbang yang dimainkan oleh pembangkang yang konstruktif akan memberikan kebaikan kepada rakyat Selangor khususnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, PAS akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu pembangkang bagi menghadapi PRK tersebut.

“PAS juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahlinya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pembangkang nanti,” katanya.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor kerana serangan jantung pada 11 Januari lalu.

PRK itu adalah yang keenam diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lalu.

Bakhtiar Mohd Noor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 Mei tahun lalu, dengan undi sebanyak 23,428.

 

 

Related Articles

Leave a Reply