Home Semasa Indera Khairul Dzaimee dilantik KP Imigresen baharu

Indera Khairul Dzaimee dilantik KP Imigresen baharu

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 13 Jan – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu berkuat kuasa Isnin (14 Januari 2019).

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata Indera Khairul Dzaimee berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan keimigresenan.

Indera Khairul Dzaimee berkelulusan Sarjana dalam jurusan Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan seterusnya di KDN.

“Bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN pada Julai 2018 hingga hari ini”, kata Alwi.

Pada masa sama, Alwi turut mengumumkan Dato’ Jamil Rakon dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan yang diperlukan oleh KDN untuk memperkasakan tadbir urus kementerian.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Australian Institute of Criminology Canberra, Jamil memulakan kerjayanya di Kementerian Pertahanan pada Disember 1992 selain berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan.

Menurut Alwi, kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai itu dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen.

 

Related Articles

Leave a Reply