Home Pertahanan dan Keselamatan Mohamad Sabu gariskan lima teras utama Kementerian Pertahanan

Mohamad Sabu gariskan lima teras utama Kementerian Pertahanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menggariskan lima teras utama kepada warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Perutusan Khas Tahun 2019 di Dewan Perkasa, Wisma Pertahanan ATM di sini semalam.

Lima teras itu adalah Hubungan Luar dan ASEAN, Dunia Islam dan Ancaman Asimetrik, Kesiagaan Angkatan Tentera, Kesejahteraan Anggota Tentera, Awam dan Veteran serta Kertas Putih Pertahanan.

Mohamad dalam ucapannya berkata dalam Hubungan Luar dan ASEAN, sebagai kuasa sederhana dan berkecuali di laluan strategik, Malaysia boleh memainkan peranan utama sebagai pihak yang mempelopori perdamaian di sebalik konflik dan pertikaian di Laut China Selatan.

“Peranan Malaysia untuk mewujudkan dan mempraktikkan satu garis panduan bagi mengelakkan sebarang pertembungan di laut dan udara perlu diberi perhatian.

Manakala dalam teras Dunia Islam dan Ancaman Asimetrik, satu sekretariat khusus perlu di wujudkan di peringkat kementerian yang berperanan merangka dan merealisasikan agenda Islam Rahmat Untuk Semua atau di sebut Rahmatan Lil Alamin yang akan menjadi pemangkin kepada kefahaman hidup beragama yang sebenar.

“Di bawah moto, Toleransi, Keilmuan dan Perkongsian Teknologi, Kerajaan berhasrat untuk mempelopori gabungan baru negara-negara Islam progresif.

Disamping itu kerajaan akan memberikan perhatian khusus kepada keperluan peralatan dan kelengkapan persenjataan, kata Mohamad di bawah teras Kesiagaan Angkatan Tentera.

“Anggota tentera juga perlu diberikan latihan sebaiknya sama ada di dalam mahupun luar negara, sebagai persedian menghadapi sebarang kemungkinan dalam memelihara kedaulatan negara”, ujarnya.

Melalui teras Kesejahteraan Anggota Tentera, Awam dan Veteran, Mohamad memaklumkan kerajaan sedang merangka satu skim kebajikan yang dinamakan Bantuan Wira Negara.

“Bantuan itu akan diberikan kepada sebahagian besar anggota tentera untuk keperluan asas mereka secara bulanan bagi membantu meringankan beban dan secara tidak langsung mengiktiraf jasa anggota tentera dan kakitangan awam”, katanya.

Dalam usaha meningkatkan ketelusan, kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan, Kementerian Pertahanan akan mengemukakan satu Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan keupayaan terkini ATM.

“Kertas putih ini bukan untuk mendedahkan keseluruhan kepentingan strategik kerahsian ATM, tetapi ke arah meningkatkan ketelusan, kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan, sokongan rakyat terhadap isu dan cabaran baru keselamatan.

“Sekaligus mengajak mereka untuk turut sama menggalas tanggungjawab mempertahankan negara selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH)”.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abd Manaf, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima-Panglima perkhidmatan serta warga Kementerian Pertahanan dan ATM.

Related Articles

Leave a Reply