Home Pertahanan dan Keselamatan Kertas Putih Pertahanan akan dibentang pada September 2019

Kertas Putih Pertahanan akan dibentang pada September 2019

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan Kertas Putih Pertahanan (Defence White Paper) akan dibentangkan di Parlimen pada September 2019.

Menurut Menteri Pertahanan, Kertas Putih tersebut akan dikemukakan pada Kabinet dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas Menteri Pertahanan Tahun 2019 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada hari ini.

Dalam perutusan beliau, Menteri Pertahanan menyatakan Kertas Putih Pertahanan akan menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ia penting bagi memastikan dasar pertahanan negara dapat menangani cabaran semasa dan akan datang. Kertas putih ini akan berperanan memaklumkan kepada parlimen dan rakyat berhubung cabaran semasa Kementerian Pertahanan,” kata Mohamad dalam perutusannya.

Beliau menjelaskan, Kertas Putih Pertahanan adalah perlu bagi membolehkan semua rakyat Malaysia memahami Dasar Pertahanan Negara.

Namun begitu, beliau menegaskan kerahsiaan ATM tetap dijaga walaupun kertas putih tersebut diterbitkan.

“Usaha ini bukan bermakna untuk mendedahkan keseluruhan kepentingan strategik dan kerahsiaan ATM, tetapi ke arah meningkatkan ketelusan, kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan, sokongan rakyat terhadap isu dan cabaran baru keselamatan, sekaligus mengajak mereka untuk turut sama menggalas tanggungjawab mempertahankan negara selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH,” jelas beliau dalam amanatnya.

Selain daripada itu, kertas putih tersebut adalah berperanan sebagai peringatan kepada rakyat akan pengorbanan ATM kepada negara.

“Sekarang kita tidak menghadapi ancaman insurgen macam zaman dahulu. Rakyat dah macam lupa akan peranan Angkatan Tentera Malaysia.

“Sebab itulah kita nak Kertas Putih ini adalah untuk memperingatkan semua (pihak) termasuk kesiapsiagaan kita pada jangka masa pendek dan jangka panjang,” ujar Menteri Pertahanan semasa sidang media.

Beliau turut menyatakan pihak Kementerian Pertahanan Malaysia mengambil panduan daripada kertas putih pertahanan yang diterbitkan oleh Australia, Jepun, New Zealand serta beberapa buah negara yang lain.

Menyentuh latihan ketenteraan dengan negara luar, Mohamad menyatakan pihak Kabinet telah meluluskan latihan ketenteraan yang sedia ada untuk terus berjalan. Namun begitu, beliau menyatakan latihan ketenteraan yang baharu perlu dikemukakan kepada kabinet terlebih dahulu.

“Kalau ada latihan yang baharu, kita akan memberikan penerangan (kepada Kabinet) akan keperluan untuk melaksanakan latihan tersebut,” jelas Mohamad.

 

 

Related Articles

Leave a Reply