LONDON, 9 Jan – Semua penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dihentikan sementara selama sejam semalam selepas sebuah dron dilihat berlegar di situ.
Menerusi satu kenyataan di Twitter oleh pengurusan lapangan terbang itu berkata, mereka sedang bekerja sama dengan Polis Metropolitan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Sebagai langkah keselamatan, kami menghentikan semua penerbangan berlepas sementara siasatan dilakukan. Kami meminta maaf kepada semua penumpang atas sebarang masalah yang timbul akibat tindakan ini,” katanya.
Operasi penerbangan yang mendarat di Heathrow bagaimanapun berjalan seperti biasa.
Insiden terbabit berlaku dua minggu selepas kelibat dron dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick iaitu lapangan terbang kedua terbesar di Britain, sekali gus mendatangkan masalah kepada puluhan ribu penumpang apabila semua penerbangan dihentikan selama tiga hari.
Gatwick susulan kejadian berkata, mereka mengambil pendekatan menggunakan teknologi anti dron manakala Heathrow memberi jaminan akan turut menggunakan sistem yang sama.
Dalam maklum balas terhadap kekecohan di Gatwick, Setiausaha Pengangkutan Chris Grayling pada Isnin lalu memberitahu parlimen bahawa zon larangan dron di sekitar lapangan terbang Britain akan diperluaskan dan semua pemilik peralatan itu wajib mendaftar.
Polis juga akan diberikan kuasa untuk mendenda pemilik dron sehingga 100 pound (RM523) sekiranya mereka gagal mendaratkan dron apabila diarah berbuat demikian atau menunjukkan lesen kebenaran menggunakan peralatan itu.