Home PolitikPakatan Harapan DAP Kelantan lahir hasrat anggotai MPKK

DAP Kelantan lahir hasrat anggotai MPKK

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 8 Jan – Pengerusi DAP Kelantan, Chua Chin Hui melahirkan hasrat agar anggotanya turut dipilih menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Memetik laporan Bernama, Chua berkata, setakat ini terdapat 26 cawangan DAP di seluruh Kelantan dengan keanggotaan kira-kira 3,000 orang yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Orang Asli Gua Musang.

“Setakat ini, beberapa cawangan seperti dari Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Bachok sudah menyerahkan senarai nama dan pihak kami masih menunggu senarai nama dari Kuala Krai, Gua Musang dan beberapa lagi kawasan Parlimen.

“Di Tumpat dan Kampung Balai, Bachok ada masyarakat Siam dan di Gua Musang majoriti anggota DAP adalah Orang Asli, jadi lantikan anggota MPKK daripada masyarakat berkenaan adalah perlu,” katanya pada sidang akhbar malam tadi.

Beliau juga berkata tiada kuota diberikan kepada DAP Kelantan untuk melantik anggotanya menjadi jawatankuasa berkenaan namun ia bergantung kepada keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Datuk Husam Musa.

“Hasil mesyuarat yang diadakan sebelum ini bersama Husam, beliau menjelaskan jumlah anggota MPKK biasanya bergantung kepada parti mana yang bertanding di sesuatu kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Urusan pelantikan anggota MPKK ini dijangka selesai paling lewat kemungkinan akhir Januari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chua berkata DAP Kelantan akan menghantar seramai 150 anggotanya yang diketuai oleh Naib Pengerusi 1 DAP Kelantan, Datuk Azaha Abdul Rani bagi membantu calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Related Articles

Leave a Reply