KUCHING, 5 Jan – Brigedier Jeneral Mohd Isa Jaafar secara rasmi mengambil alih tugas Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia pada Jumaat lepas.
Isa mengambil alih tugas itu daripada pemangku jawatan Panglima, Leftenan Kolonel Salmi Istikh Ahmad yang memangku tugas setelah Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zain yang bersara wajib pada November tahun lalu.
Majlis Perbarisan Serah Tugas antara kedua-dua pemimpin itu telah diadakan di Padang Kawad Kem Semenggo 11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini.
Majlis disaksikan oleh Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Toh Choon Siang.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Staf Markas 3 Briged, Leftenan Kolonel Ilyas Hanafi dan veteran angkatan tentera.
Upacara perbarisan itu melibatkan seramai 500 pegawai dan anggota lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai Pegawai Memerintah 13 RAMD, Leftenan Kolonel Mislani Auverto @ Suwarto.
Dalam ucapannya, Isa menyeru agar semua warga 3 Briged memberikan kerjasama dan sokongan kepadanya sepanjang menjalankan tugas sebagai Panglima 3 Briged.
Beliau juga berharap supaya semua peringkat pegawai dan anggota terus memberi kesetiaan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi kecemerlangan organisasi secara keseluruhannya.
Isa dahulu bertugas di kedutaan Malaysia di Kemboja sebagai Penasihat Pertahanan selama empat tahun dari 2014.