Home Semasa Isu ECRL: Itu Sri Lanka, ini Malaysia – Selar Najib

Isu ECRL: Itu Sri Lanka, ini Malaysia – Selar Najib

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 2 Jan – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membina Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau hairan kenapa ramai orang mempercayai propaganda sebegitu, sedangkan kerajaan PH sendiri sanggup kehilangan hasil negara.

Katanya, ia boleh dilihat apabila PH kehilangan hasil RM40 bilion dari langkah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan memberi pelepasan tiga bulan tanpa cukai pada tahun lalu dan hilang sekurang-kurangnya RM25 bilion setiap tahun akibat menggantikan GST dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Amat susah bagi saya untuk percaya mengapa ramai rakyat Malaysia boleh diperdaya dan percaya propaganda PH bahawa Malaysia akan menjadi Sri Lanka kerana projek ECRL.

“Itu Sri Lanka, ini Malaysia,” katanya menerusi perkongsiannya di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan mempersoalkan asas digunakan kerajaan hari ini hingga projek ECRL itu dikatakan boleh menyebabkan Malaysia tergadai atau terpaksa memajak tanah kepada China seperti dilakukan Sri Lanka.

Katanya, kos ECRL ialah RM55 bilion tetapi PH dakwa harga sebenar ECRL kini ialah RM81 bilion.

“Jika mereka dengan senang-senang boleh arah RM82 bilion dari Petronas untuk tahun lepas dan tahun ini, kos RM55 atau RM81 bilion ECRL sudah tentu boleh dibayar sekali gus.

“Dana-dana yang lain, rizab wang tunai Petronas pun sudah mencecah RM170 bilion sebelum PRU14. Tentu kos ECRL dengan mudah dapat dibayar sepenuhnya dalam masa tiga atau empat tahun sahaja hanya dari perbezaan hasil GST dengan SST?,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply