Home Semasa Kebakaran kedai makan : Wanita OKU ditemui rentung

Kebakaran kedai makan : Wanita OKU ditemui rentung

by Air Times News Network

Kota Bharu, 31 Dis – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran di kedai makan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu awal pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro, Mangsa yang pekak dan bisu dikenali sebagai Mok Su, 40, yang juga pekerja di premis itu ditemui pasukan bomba pada 7.17 pagi.

Menurut pemilik kedai makan, Zaidah Mohd Istiak, 50, semasa kejadian dia sedang tidur di tingkat bawah premis berkenaan bersama ibu saudara serta seorang cucunya yang berusia enam tahun.

Beliau tersedar dari tidur melihat api yang marak di ruang dalam kedai dan terus menjerit untuk mengejutkan orang lain termasuk dua orang pekerjanya yang tidur di tingkat atas.

“Seorang pekerja lelaki sempat terjun untuk menyelamatkan diri manakala Mok Su gagal keluar dari bilik disebabkan api terus marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Zaidah berkata, dia terpaksa memecahkan pintu belakang premis untuk keluar kerana ruang hadapan dalam kedai sudah tidak dapat dilalui.

Dia yang menghidap migrain serta gastrik juga gagal mencapai bekalan ubat disebabkan panik dan hanya sempat mencapai tangan ibu saudara dan cucunya sahaja.

Mereka tinggal sehelai sepinggang dan lebih menyedihkan semua keperluan persekolahan cucu Zaidah, Nur Alisya Mohd Rizuan, yang akan masuk Tahun Satu esok, turut hangus.

Sementara itu Ketua Zon Kota Bharu, Pegawai Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.56 pagi dan tujuh jentera bomba dengan 31 anggota dari Balai Bomba Kota Bharu, Darul Naim dan Tunjong bergegas ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan dua premis kedai makan dan sebuah rumah kediaman.

“Sebaik tiba, kebakaran sudah pun 70 peratus dan api dapat dikawal pada 6.10 pagi,” katanya punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Related Articles

Leave a Reply