Home Pertahanan dan Keselamatan Bekas anggota tentera hidap kanser darah rayu bantuan

Bekas anggota tentera hidap kanser darah rayu bantuan

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 28 Dis – Bekas anggota tentera, Jasni Othman, 60, yang kudung kaki kiri akibat terkena jerangkap samar di hutan Gubir di Sik 32 tahun lalu,  merayu  bantuan orang ramai bagi meringankan bebannya untuk membiayai kos rawatan selepas disahkan menghidap kanser darah dan memerlukan rawatan segera sejak September lalu.

Memetik laporan Bernama, Jasni dari Taman Kita di sini, berkata pada mulanya beliau sering berasa letih dan pitam, sebelum pemeriksaan rapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengesahkan anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menghidap kanser.

“Sejak disahkan sakit kanser, hidup saya rasa kelam kerana sudahlah berusia, kudung kaki kiri dan tidak berpendapatan tetap, saya terpaksa berulang-alik ke HSB untuk pemeriksaan darah dan menjalani rawatan kimoterapi.

“Saya perlu menghabiskan 42 kali rawatan kemoterapi dan hidup kami makin terhimpit apabila anak perempuan saya Anis Adlin, 22, yang bekerja sebagai jurujual di pasar raya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan saya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, semalam.

Jasni berkata duit pencen tentera dan elaun Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak RM150 sebulan terpaksa dihabiskan untuk menyara kehidupan seharian, membayar pinjaman rumah dan pinjaman peribadi yang dibuat sebelum ini.

“Pendapatan saya memang tak mencukupi, kerana saya terpaksa menanggung kos berulang-alik ke HSB hampir setiap hari sebanyak RM30 hingga RM50 dan saya juga ada tanggungan seorang anak berusia 18 tahun serta tiga orang cucu yang menetap bersama kerana anak saya dan menantu tidak ada kerja tetap.

“Kini saya tidak mampu lagi membeli susu khas yang berharga RM80 satu tin yang perlu diminum bagi meningkatkan imunisasi badan semasa rawatan kimoterapi,” katanya yang kematian isteri akibat kanser payudara dan kanser paru-paru beberapa tahun lalu.

Jasni berkata beliau sangat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan pihak korporat bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

“Saya juga perlu menukar kaki palsu yang baharu kerana yang lama sudah tidak sesuai digunakan lagi, namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana kos membelinya sangat mahal,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menghubungi Jasni di talian 017-5061884 atau salurkan terus sumbangan ke akaun Bank Islam Jasni bernombor 0211020675510.

Related Articles

Leave a Reply