Home PolitikPakatan Harapan Subsidi petrol : Jangan bebankan pengguna

Subsidi petrol : Jangan bebankan pengguna

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 25 Dis – Timbalan Ketua Pemuda Amanah,  Faiz Fadzil menggesa kerajaan agar memastikan mekanisme subsidi petrol yang bakal dilaksanakan tidak membebankan pengguna.

Menurut laporan Sinar Harian, Faiz Fadzil berharap polisi baharu itu dapat memberikan penjimatan yang terbaik untuk rakyat.

“Harga petrol dan diesel akan diapungkan, tetapi rakyat  berpendapatan rendah akan diberikan subsidi bertujuan untuk mengukuhkan kuasa beli mereka.

“Mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan juga diharapkan tidak membebankan pengguna yang tidak menerima subsidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga merayu kerajaan menetapkan harga siling bagi petrol.

“Selain itu kerajaan diminta menyuntik subsidi sekiranya harga melepasi harga siling.

“Polisi ini penng bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan semalam mengumumkan kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019.

Menurutnya, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun sekarang.

Jelasnya, penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019, membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) optimis pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar akan dimuktamadkan akhir Februari depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasuon Ismail, berkata, ketika ini kementerian sedang mengumpul input diperlukan membabitkan agensi kerajaan selain daripada persatuan pengusaha stesen minyak di seluruh negara.

Related Articles

Leave a Reply