Home Pertahanan dan Keselamatan 155 veteran ATM terima Pingat Jasa Malaysia

155 veteran ATM terima Pingat Jasa Malaysia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Seramai 155 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipilih menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas pengorbanan dan sumbang bakti mereka kepada negara dalam satu majlis hari ini.

Majlis Pengurniaan PJM Veteran ATM Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di sini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Dato’ Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pertahanan, Puan Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain Ahmad.

Zulkifli berkata, penganugerahan tersebut merupakan simbolik pengiktirafan raja-raja melayu dan kerajaan, serta nilai kenangan budi daripada pekhidmatan atas lakaran sejarah pengorbanan dalam menjunjung tinggi kewajipan sepanjang perkhidmatan dalam ATM.

“Dalam memelihara ukhuwah harmoni dan hubungan sebagai asas angkatan kredibel, pokok pangkalnya kesatuan kita seluruh warga ATM mestilah kekal, walaupun telah melangkah ke alam persaraan.

“Oleh itu, ATM amat mengalu-alukan penglibatan seluruh ahli-ahli veteran ATM untuk memberikan pandangan dan idea, terutamanya dalam menentukan semangat dan etos kepahlawanan seluruh warga ATM terus berkobar-kobar demi memperkasakan angkatan ini.

“ATM juga berharap semua veteran untuk terus menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ ATM, bukan sahaja dari sudut keperluan kebajikan, tetapi juga untuk menyalurkan maklumat-maklumat penting isu keselamatan negara agar langkah mitigasi yang proaktif dapat diambil,” katanya dalam ucapan selepas menyempurnakan Majlis Pengurniaan PJM di sini hari ini.

 

Related Articles

Leave a Reply