Home Semasa Mohamad masih ADUN Rantau yang sah – Zulkefly

Mohamad masih ADUN Rantau yang sah – Zulkefly

by Air Times News Network

SEREMBAN, 20 Dis – Status Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau masih sah sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Pilihan Raya itu memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Zulkefly Mohamad Omar berkata beliau tidak mempunyai masalah membenarkan Mohamad menghadiri persidangan DUN kali ini yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin.

“Seminggu sebelum persidangan bermula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memaklumkan kepada saya bahawa Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Februari depan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya.

“Mereka (SPR) maklumkan maklumat itu, jadi kita terima. Status beliau (Mohamad) masih lagi ADUN sehingga rayuan didengar jadi bagi saya tiada masalah menghadiri persidangan,” katanya kepada media selepas selesai hari ketiga Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 semalam.

Mengulas lanjut Zulkefly berkata, keputusan untuk membenarkan Mohamad menghadiri persidangan DUN selepas ini bergantung kepada keputusan mahkamah itu nanti.

Bagaimanapun hari ini, Mohamad tidak menghadiri persidangan yang selesai kira-kira jam 5.30 petang itu.

Menerusi sebuah portal berita, sorang peguam, Lim Wei Jit mempersoalkan kehadiran Mohamad pada persidangan DUN selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya itu membuat keputusan itu.

Lim dilaporkan berkata perintah mahkamah itu adalah sah dan perlu dihormati jika penggantungan keputusan tidak diperoleh.

 

Related Articles

Leave a Reply