Home Semasa Suspek buat panggilan palsu ditahan – Polis

Suspek buat panggilan palsu ditahan – Polis

by Air Times News Network

TAMPIN, 15 Dis – Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan seorang lelaki yang membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin di Tampin, ditahan polis di Rembau, malam tadi.

Memetik laporan Harian Metro, Ramli berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, pada 10.45 malam.

“Selain penahanan suspek, polis turut merampas sebuah telefon jenis Nokia yang digunakan untuk membuat panggilan palsu itu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin semalam dan Hospital Pakar KPJ Seremban pada 27 November lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati suspek adalah pesakit mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Ramli turut berkata, permohonan reman akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Tampin.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan mengesahkan Hospital Tampin menerima satu panggilan ancaman bom di kawasan berkenaan daripada individu yang tidak dikenali.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan, tetapi tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Related Articles

Leave a Reply