Home PolitikBarisan Nasional ‘Hanya PAU yang boleh lucutkan jawatan saya’ – Zahid

‘Hanya PAU yang boleh lucutkan jawatan saya’ – Zahid

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 15 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hanya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang boleh melucutkan jawatan yang dipegangya itu.

Memetik laporan Sinar Harian Online, Zahid berkata, beliau tidak akan tunduk dengan mana-mana desakan melepaskan jawatan.

“Dulu desakan bercuti. Sekarang desakan letak jawatan. Ok…yang boleh melucutkan jawatan saya hanyalah Perhimpunan Agung UMNO sahaja.

“Ia mestilah dihadiri oleh dua per tiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ditanya sekiranya ada yang mendesak supaya perhimpunan itu diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda UMNO ketika ini, beliau berkata, terserah kepada Ibu Pejabat UMNO.

“Itu ibu pejabat kena buat. Tetapi perlu dua pertiga daripada seluruh perwakilan. Awak tahu perwakilan ada berapa? 146,000 perwakilan. Itulah jumlahnya. Kena ada dua per tiga yang desak,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengatakan bakal berlaku gelombang ketiga Ahli Parlimen keluar UMNO sekiranya beliau enggan melepaskan jawatan, Ahmad Zahid yang tidak gusar dengan apa yang didedahkan itu berkata, Hamzah tidak mempunyai hak bercakap mengenai parti lagi.

“Dia dah keluar UMNO kan? Bila dia dah keluar UMNO dia tidak boleh bercakap bagi pihak UMNO,” katanya.

Hamzah antara enam Ahli Parlimen UMNO yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Lima orang yang lain adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

 

Related Articles

Leave a Reply