Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Eksesais OSTEX Timur: Bukti TLDM sentiasa pastikan kedaulatan perairan terpelihara

Eksesais OSTEX Timur: Bukti TLDM sentiasa pastikan kedaulatan perairan terpelihara

by Air Times News Network

SANDAKAN, 12 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap-siaga memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara.

Kehadiran lapan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada pelbagai kelas bagi menjayakan Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur membuktikan aset armada TLDM khususnya Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) sentiasa bersedia memenuhi keperluan operasi di Kawasan Operasi Maritim (KOM) Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang terdedah kepada ancaman jenayah rentas sempadan.

Menurut kenyataan MAWILLA 2, pelaksanaan latihan itu juga memberikan impak yang positif kepada komuniti maritim di pantai timur khususnya keyakinan mereka terhadap kemampuan dan komitmen ATM dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan perairan setempat dengan kehadiran kapal TLDM di perairan laut Sulu.

“OSTEX yang dilaksanakan berjaya memantapkan kemampuan aset MAWILLA 2 dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan menguji prosedur tetap sedia ada,” kata kenyataan itu.

OSTEX Timur dilaksanakan bermula 3 hingga 10 Disember dan dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pelabuhan yang dilaksanakan di pangkalan TLDM Sandakan, manakala fasa laut di perairan laut Sulu.

Ia dilaksanakan susulan Perang Borneo pada Oktober lalu sebagai proses penilaian kesiap-siagaan dan keupayaan tempur armada di bawah naungan MAWILLA 2.

Bagi fasa pelabuhan, ia merangkumi latihan pertahanan pangkalan yang membabitkan semua unit di pangkalan TLDM Sandakan serta kapal yang merapat di Tambatan Pangkalan Sandakan.

Bagi fasa laut, elemen tugas membabitkan lapan kapal iaitu Kapal Auksiliari Tun Azizan, Kapal Diraja (KD) Todak, KD Yu, KD Sri Tiga, KD Sri Gaya, KD Sri Johor dan KD Sri Perlis serta Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah.

Fasa itu membabitkan beberapa siri latihan seperti melalui periuk api, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi dan taktik peperangan maritim.

Related Articles

Leave a Reply