Home Pertahanan dan Keselamatan PATRIOT gesa Hishammudin jawab isu OPS Yaman 2

PATRIOT gesa Hishammudin jawab isu OPS Yaman 2

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Datuk Mohamad Arshad Raji menggesa bekas Menteri Pertahanan tampil memberi penjelas mengenai pembabitan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops Yaman 2 yang tidak mendapat kelulusan Kabinet atau Parlimen.

Memetik laporan Harian Metro Arshad Raji berkata, pendedahan itu disifatkan sebagai amat mengejutkan dan menimbulkan persoalan berhubung siapa yang bertanggungjawab membuat keputusan menghantar pasukan ATM dalam misi membantu pakatan ketenteraan Arab Saudi itu.

Katanya, PATRIOT mahu kerajaan terdahulu khususnya bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjawab persoalan yang timbul berhubung isu terbabit.

“PATRIOT ingin tahu, siapakah yang diberi kuasa untuk mengarahkan pasukan ATM ke Arab Saudi, jika ia adalah keputusan Menteri Pertahanan atau mana-mana ahli politik, ia adalah satu perkara yang menyalahi undang-undang.

“Adakah ada sebarang rundingan dibuat oleh Menteri Pertahanan bersama Panglima Angkatan Tentera untuk menentukan sama ada pembabitan pasukan ATM di Arab Saudi dan menyertai pasukan ketenteraan Arab Saudi menentang Yaman adalah sah menurut undang-undang?

“Wujudkah sebarang tekanan dikenakan terhadap Panglima Angkatan Tentera supaya menuruti arahan menghantar pasukan ke Arab Saudi, mengapakah ia tidak dibincangkan dalam kabinet dan adakah Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi angkatan tentera dirujuk sebelum keputusan dibuat,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, jelas ada kesilapan dalam keputusan yang dibuat kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan menghantar pasukan ATM tanpa kelulusan kabinet atau Parlimen.

“Jika berlaku kehilangan nyawa, siapakah yang akan bertanggungjawab, Menteri Pertahanan sepatutnya memahami beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah kepada pasukan tentera, ia hanya boleh dilakukan oleh panglima tentera.

“PATRIOT juga mahu mengingatkan Menteri Pertahanan supaya berhati-hati apabila berbicara mengenai penghantaran pasukan untuk mana-mana misi, Menteri, seperti yang diketahui hanya bertanggungjawab ke atas polisi berkaitan kementeriannya,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dalam satu kenyataan di Parlimen mendedahkan kerajaan terdahulu menghantar pasukan ATM menyertai konflik ketenteraan di antara pakatan ketenteraan Arab Saudi dan Yaman, dikenali Ops Yaman 2.

Pasukan itu dihantar pada 2015, dan sudah dipanggil pulang oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas memaklumkan kerajaan Arab Saudi pasukan Malaysia akan ditarik balik daripada pembabitan dalam peperangan dengan Yaman.

Related Articles

Leave a Reply