Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Khairul Anuar dilantik Timbalan Panglima Tentera Laut yang baharu

Khairul Anuar dilantik Timbalan Panglima Tentera Laut yang baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkuat kuasa hari ini.

Khairul Anuar menggantikan Laksamana Madya Datuk Mohamad Reza Mohd Sany yang akan dilantik sebagai Panglima TLDM yang baharu.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas antara Khairul Anuar dan Mohamad Reza telah diadakan di KD Sri Gombak yang disaksikan oleh Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Pada petang ini akan berlangsung satu lagi Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Mohd Reza sebagai Panglima TLDM baharu diantara Ahmad Kamarulzaman yang akan disaksikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Kementerian Pertahanan.

Memetik laporan Bernama, Khairul Anuar, 58, pernah memegang jawatan penting seperti Ketua Staf Markas Pemerintahan Armada, Panglima Wilayah Laut 2 sebelum dilantik Asisten Ketua Staf Operasi dan Eksesais TLDM pada 20 Jan 2017.

Anak kelahiran Taiping, Perak yang menerima pendidikan awal di Singapura itu ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada tahun 1981.

Sepanjang berkhidmat, Khairul Anuar yang merupakan lulusan Master of Arts in Defence Studies dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai kepakaran dalam Peperangan Elektronik dan Komunikasi.

Pada majlis itu juga, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Syed Zahrul Putra Syed Abdullah dilantik sebagai Assisten Ketua Staf Eksesais dan Operasi TLDM menggantikan Khairul Anuar.

Sementara itu, Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya berkata beliau yakin kepimpinan baharu ini mampu membawa nama TLDM ke persada antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply