Home Semasa Bekas tentera dipenjara dua bulan, denda RM10,000

Bekas tentera dipenjara dua bulan, denda RM10,000

by Air Times News Network

MELAKA, 28 Nov – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman dua bulan penjara dan denda RM 10,000 kepada seorang bekas tentera selepas mengaku bersalah menganiayai anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Mei lepas.

Memetik laporan Bernama, Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 48 tahun berkenaan yang mengaku menganiayai dari segi fizikal terhadap mangsa berusia 11 tahun dengan menghantuk kepala dan muka kanak-kanak tersebut ke tembok pagar rumah sehingga menyebabkan muka, mata dan kepalanya bengkak dan lebam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bukit Katil di sini antara 3 dan 6 petang, 2 Mei lepas, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya serta bon berkelakuan baik.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon agar menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar berpada-pada dalam mendidik anak.

“Sebagai bapa, tertuduh sepatutnya melindungi kanak-kanak itu lebih-lebih lagi kanak-kanak OKU dan bukan memukul sehingga meninggalkan kesan dalam,” kata Mazuin.

Bagaimanapun, bapa lima anak yang tidak diwakili peguam tersebut memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia mengakui kesilapan yang dilakukannya dan memaklumkan tindakannya hanyalah sebagai pengajaran kepada anak bongsunya itu dan bukan berniat mendera.

Mengikut fakta kes, laporan berkenaan dibuat oleh guru sekolah kanak-kanak tersebut selepas mendapati kesan lebam serta luka yang teruk di bahagian mata kanak-kanak OKU sumbing dan sengau itu ketika dia hadir ke sekolah.

 

Related Articles

Leave a Reply