Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Panglima Tentera Laut dirai penuh istiadat ketenteraan

Panglima Tentera Laut dirai penuh istiadat ketenteraan

by Air Times News Network

LUMUT, 23 Nov – Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, diraikan dengan penuh istiadat ketenteraan pada Majlis Perbarisan Istiadat Penghargaan PTL ke-16 sempena persaraannya di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini hari ini.

Beliau menabur bakti bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 42 tahun selepas menyertai perkhidmatan pada 24 Feb 1977 sebelum dilantik sebagai PTL mulai 18 Nov 2015.

Ahmad Kamarulzaman akan bercuti selama empat bulan sebelum menjalani tempoh persaraan wajib bermula 31 Mac tahun depan.

Beliau yang tiba bersama isteri, Puan Sri Noor Azrina Abdullah pada jam 8 pagi, diberi tabik hormat selain diiringi terbang lintas hormat oleh empat helikopter TLDM jenis Fennec dan Superlynx yang membawa Jalur Gemilang.

Ahmad Kamarulzaman seterusnya memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat diikuti perbarisan berjalan membabitkan 25 pegawai dan 475 anggota lain-lain pangkat serta enam panji-panji TLDM iaitu KD Pelandok, KD Malaya, KD Duyong, KD Rajawali, KD Panglima Hitam dan Skuadron ke-23.

Perbarisan kontinjen tersebut dipimpin Komander Lukman Hamzah dari Cawangan Penguasa Kejuruteraan Armada (CPKA) Bahagian Kejuruteraan Markas Tentera Laut.

Acara tersebut diakhiri dengan perbarisan mara mengadap yang turut menyaksikan laungan gempur wira sebanyak tiga kali dan tabik hormat kepada Ahmad Kamarulzaman pada jam 9 pagi.

Ahmad Kamarulzaman kemudiannya bergerak ke Majlis Ramah Mesra Penghargaan PTL di Auditorium M. Sidek Shahbudin KD Pelandok di sini bagi memberi amanat terakhir kepada anggota TLDM.

Dalam ucapannya pada majlis tersebut, beliau meminta anggota TLDM sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan memberi sokongan padu kepada pucuk kepimpinan TLDM yang baharu bagi membawa TLDM ke tahap yang lebih cemerlang selain memastikan beberapa perancangan termasuk Pelan Transformasi ‘15 to 5’ Armada TLDM tercapai.

“Bantuan dan sokongan warga Navy (TLDM) termasuk anggota awam memainkan peranan penting bagi menentukan saya melaksanakan amanah dalam menerajui TLDM dengan jayanya selama ini.

“Saya yakin pucuk kepimpinan baharu kelak akan membawa pelan perancangan ke landasan yang betul dan terus membawa TLDM di tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Terdahulu pada sidang media, Ahmad Kamarulzaman turut menyatakan penghargaannya terhadap pihak media dalam menyampaikan maklumat dan informasi yang jelas mengenai TLDM kepada orang ramai sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat terhadap peranan TLDM dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Sepanjang kariernya, Ahmad Kamarulzaman telah memegang pelbagai jawatan penting dalam TLDM dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Ketua Staf Markas ATM, Panglima Angkatan Bersama, Panglima Armada, Panglima Wilayah Laut 2 dan Asisten Ketua Staf (Rancang dan Operasi) di Markas Tentera Laut. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply