LUMUT, 21 Okt – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal memiliki sistem pesawat tanpa pengendali atau ‘Unmanned Aerial System’ (UAS) tahun hadapan bagi mempertingkatkan lagi keupayaan pemantauan sedia ada.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata selari dengan Pelan Transformasi ‘15 to 5’ Armada TLDM kelak, penggunaan UAS dilihat sebagai inisiatif dan pendekatan yang strategik bagi memenuhi keperluan semasa dalam menangani cabaran yang kian mencabar terutama di Laut China Selatan.
Keupayaan teknologi itu akan menjadi ‘Maritime Force Multiplier’ iaitu konsep penggandaan keupayaan bagi kemampuan meliputi jarak, masa serta kawasan operasi, bagi memperkasakan kesiagaan pertahanan maritim negara khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan berkepentingan negara.
“Dalam hal ini, penggunaan teknologi yang bersesuaian amat kita perlukan apatah lagi dengan kekangan aset kapal permukaan yang kita hadapi saat ini sementara menunggu penggantian aset dari semasa ke semasa.
“Program UAS iaitu sistem pesawat tanpa pengendali ini merupakan langkah tepat dan strategik dalam membangunkan keupayaan TLDM dan juga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) yang sangat efisien dan efektif,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Program UAS TLDM di Markas Udara TLDM di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Panglima Tentera Laut menyerahkan sijil pelantikan kepada pasukan Tim Nukleus yang dipertanggungjawabkan bagi menyelia dan menentukan pengoperasian UAS itu.
Ahmad Kamarulzaman berkata berdasarkan rancangan di bawah kolaborasi bersama Amerika Syarikat melalui program Inisiatif Sekuriti Maritim (MSI), ia akan meningkatkan tahap keselamatan maritim dan ‘interoperability’ negara serantau di perairan Laut China Selatan dan Lautan Sulu.
Katanya lagi, pengoperasian UAS turut memberi kelebihan dari segi peruntukan pengurusan kewangan yang jauh lebih rendah berbanding dengan pendekatan konvensional yang sedang digunakan.
“Ia juga akan memberi kelebihan taktikal dan mudah diatur gerak kerana prosedur pengoperasiannya yang lebih ringkas, masa pengoperasiannya yang lebih lama serta mampu mendapatkan maklumat secara visual dan dipancarkan terus ke bilik operasi,” katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata program UAS ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan terbahagi kepada tiga fasa bagi memastikan ia dijalankan secara teliti bagi mencapai hasrat penubuhan yang telah digariskan.
Katanya, fasa pertama ialah fasa persiapan dan latihan yang menumpukan pembangunan pasukan UAS TLDM dengan melatih kru dan operator UAS serta pembangunan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan dokumen pengoperasian.
“Fasa kedua ialah pengoperasian pangkalan atau lokasi strategik yang telah dikenal pasti dan dikendalikan oleh kru yang kompeten setelah menjalani fasa latihan seperti perairan Laut China Selatan dan akan dikembangkan ke perairan Laut Sulu.
“Manakala fasa ketiga ialah ‘shipborne operation’ di mana kru UAS telah mencapai tahap kompetensi yang tinggi,” katanya. – Bernama