Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-Thailand cari jalan terbaik selesai isu selatan Thai

Malaysia-Thailand cari jalan terbaik selesai isu selatan Thai

by Admin

BANGKOK, 21 Nov – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang tiba di sini untuk lawatan rasmi pertamanya ke Thailand, berkata kedua-dua negara mahu melakukan usaha terbaik dalam mencari jalan penyelesaian terhadap konflik di selatan Thai.

Beliau berkata isu mengenai konflik selatan negara jiran itu adalah antara topik akan dibincangkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand Jen Prawit Wongsuwon, pada Rabu.

Selepas pertemuan dengan Prawit, Mohamad akan membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha, dengan isu mengenai konflik di selatan Thai akan turut dibincangkan.

“Apa yang berlaku di selatan negara itu bersangkut-paut dengan kedua-dua negara, sebab itu kita perlu mencari jalan penyelesaian menerusi perundingan secara diplomatik, diplomasi pertahanan serta pelbagai cara lain untuk mencari usaha terbaik,” katanya kepada Bernama.

Menurut Mohamad, ada dalam kalangan penduduk di wilayah-wilayah selatan Thailand mempunyai hubungan kekeluargaan dengan rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di negeri-negeri seperti Perlis, Kedah dan Kelantan.

Malaysia adalah fasilitator kepada proses rundingan damai selatan Thai antara kerajaan Thai dan Mara Patani (Majlis Syura Patani), yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thailand.

Sejak 2004, konflik bersenjata di selatan Thai mengorbankan kira-kira 7,000 orang, menurut badan bukan kerajaan Deep South Watch (DSW) yang memantau konflik itu.

Selain isu mengenai konflik di selatan Thai, Menteri Pertahanan Malaysia itu juga berkata, beliau dan rakan sejawatannya juga akan berbincang mengenai usaha untuk merapatkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata persahabatan antara Kuala Lumpur dan Bangkok sudah lama dan kedua-dua pihak kini mahu merapatkan lagi hubungan serta persahabatan yang telah terjalin itu.

Terdahulu, sejurus selepas ketibaannya di Bangkok, beliau dibawa melawat kemudahan yang terdapat di ‘Counter Terrorist Operations Centre (CTOC)’ milik Tentera Diraja Thailand, serta menyaksikan demonstrasi operasi menyelamatkan tebusan oleh anggota komando Thailand.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata beliau, sememangnya menjalin hubungan rapat dengan Tentera Diraja Thailand dan angkatan tentera negara-negara ASEAN dalam usaha memerangi keganasan serta peperangan siber.

Kedua-dua angkatan tentera turut berkongsi dan bertukar-tukar maklumat, katanya.

Mohamad turut mengunjungi Kedutaan Malaysia yang terletak di Jalan Sathorn di sini, dan bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel, kakitangan kedutaan serta warga Malaysia. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply