Home Pertahanan dan Keselamatan Tingkat risikan perangi penjenayah rentas sempadan

Tingkat risikan perangi penjenayah rentas sempadan

by Air Times News Network

LAHAD DATU, 16 Nov – Perisikan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) perlu dipertingkatkan dalam usaha memerangi elemen jenayah rentas sempadan.

Komander ESSCom, Datuk DCP Hazani Ghazali berkata perkara itu kerana penjenayah rentas sempadan menjadikan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sebagai sasaran utama terutama kepada kru bot nelayan dan pusat pelancongan.

“Tanpa perisikan yang mantap dan kukuh kita tidak boleh melaksanakan apa-apa walaupun pasukan kita memiliki aset-aset yang canggih dan keanggotaan yang lengkap.

“Apabila saya mengambil alih jawatan Komander ESSCom, saya memberi tumpuan serta fokus kepada intelligent dulu, mula gerakan dan susun atur serta berhubung dengan semua pihak berkaitan dengan intelligent, untuk kita merancang dan memantapkan aspek perisikan termasuk melaksanakan operasi-operasi yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hazani berkata Timbalan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, SAC Adnan Abdullah dilantik sebagai Ketua Staf Perisikan Kawasan ESSCom yang baharu berkuat kuasa pada Isnin depan.

Menurut Hazani, perlantikan Adnan, 58, itu bagi menggantikan SAC Datuk Hashim Justin yang bersara wajib pada 17 November ini selepas berkhidmat selama 39 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

“Datuk Hashim banyak main peranan membantu dalam merencana pengoperasian risikan yang dilaksanakan oleh ESSCom,” katanya berharap Adnan turut sama dapat mengetuai unit risikan ESSCom dengan lebih baik. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply