Home Semasa Hospital baharu di Cox’s Bazar bantu 140,000 pelarian Rohingya

Hospital baharu di Cox’s Bazar bantu 140,000 pelarian Rohingya

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Sebuah hospital baharu dengan 100 katil akan dibuka di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh untuk memudahkan 140,000 pelarian Rohingya dari kem Kutupalong.

Kemudahan perubatan yang beroperasi 24 jam itu dibina dan diuruskan oleh Médecins Sans Frontières (MSF) – Doctors without Borders – dengan sokongan sebuah pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang berpangkalan di Sharjah, Yayasan The Big Heart atau The Big Heart Foundation (TBHF), yang menyasarkan untuk merawat 7,200 pesakit dalam tahun pertama operasinya.

Menurut satu kenyataan, Sheikh Sultan Ahmed Al Qasimi, duta kemanusiaan yayasan itu dan pengerusi Sharjah Media Corporation (SMC) telah melancarkan hospital berkenaan baru-baru ini.

“Hospital itu mencerminkan hubungan kemanusiaan yang baik antara rakyat Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan masyarakat dunia,” katanya.

Projek hospital itu disokong dengan sumbangan dana sebanyak AED 3 juta dari SMC menerusi inisiatif kutipan derma awam bagi projek-projek penjagaan kesihatan. Ia turut menyumbangkan bantuan yang amat diperlukan bagi meringankan beban pelarian Rohingya, temasuk wanita mengandung, bayi dan kanak-kanak kecil. (AED 100 = RM114.10)

Hospital tersebut dibekalkan dengan peralatan unit rawatan rapi, wad pediatrik dan wad bersalin, selain peralatan untuk jabatan pesakit luar, termasuk khidmat sokongan untuk mangsa-mangsa penderaan seksual.

Hospital itu turut memiliki kemudahan sistem rawatan air untuk kegunaan penduduk sekitarnya yang dilengkapi sistem amaran berteknologi tinggi untuk mengesan penyakit berjangkit dan untuk bertindak menghadapi serta mengawal wabak penyakit.

Selepas lebih setahun krisis di Cox’s Bazar, jumlah pelarian Rohingya telah mencecah hampir sejuta orang. Kebanjiran pelarian dan kekurangan sumber-sumber di daerah Cox’s Bazar telah mewujudkan situasi kecemasan dari segi kemanusiaan, di luar kemampuan sistem dan masyarakat setempat untuk menanganinya, kata kenyataan itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply