Home Pertahanan dan Keselamatan Warga Kementerian Pertahanan digalak pelopori bidang inovasi – Liew

Warga Kementerian Pertahanan digalak pelopori bidang inovasi – Liew

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kementerian Pertahanan menggalakkan warganya mencipta lebih banyak produk berinovasi dan mempeloporinya hingga ke peringkat antarabangsa, kata Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong.

Beliau berkata kementerian itu perlu berusaha menjadi medan ujian bagi produk-produk berinovasi dan menghasilkan persekitaran kondusif yang menghargai bakat dan usaha ke arah kecemerlangan dan keberanian menguji idea baharu, dalam usaha menjadi pemangkin perubahan bidang inovasi.

“Bayangkanlah impak yang kita akan hasilkan jika kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi perintis dalam usaha transformasi penggunaan tenaga di pejabat-pejabat dan kem-kem kita,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Inovasi Peringkat Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan semalam.

Sambutan Hari Inovasi ini merupakan program tahunan yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada warga kerja yang memperkasakan budaya inovasi serta kreatif secara berterusan bagi melahirkan pekerja yang lebih dedikasi, berdisiplin dan bertanggungjawab serta memperbaiki sistem bekerja dan sekaligus dapat menjana idea dari penciptaan produk yang boleh menyumbang dalam perkhidmatan serta pembangunan ekonomi negara melalui Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Sebanyak 58 kumpulan terdiri daripada warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengambil bahagian dalam pertandingan KIK di mana enam kategori dipertandingkan menyaksikan Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dinobatkan Johan dalam Inovasi Penyampaian Perkhidmatan, Tentera Udara Diraja Malaysia Johan dalam Kategori Penambahbaikan serta Inovasi Sosial manakala Anugerah Khas Inovasi dan Johan Keseluruhan telah dinobatkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Hj Buang TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

 

Related Articles

Leave a Reply