Home Semasa Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah yang sah

Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah yang sah

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 8 Nov – Mahkamah Tinggi di sini semalam memutuskan bahawa pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri baru Sabah adalah mengikut perlembagaan dan oleh itu beliau merupakan ketua menteri negeri yang sah.

Hakim Datuk Yew Jen Kie menegaskan bahawa Musa telah hilang keyakinan majoriti anggota Dewan apabila enam Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah daripada Barisan Nasional beralih memberi sokongan mereka kepada Mohd Shafie.

Beliau memutuskan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah menggunakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah untuk melantik Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri baharu Sabah setelah mendapati Musa tidak lagi mendapat keyakinan majoriti Adun.

“Sejajar dengan Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Musa wajib berundur atau atau mengosongkan jawatan itu apabila beliau hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Berlandaskan sebab di atas, maka saya menolak saman pemula plaintif (Musa) untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, “ kata beliau serta memerintahkan Musa membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Mohd Shafie dan Juhar.

Yew membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan daripada peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S.Vanugopal yang mewakili Musa, Datuk Douglas Lind, yang mewakili Mohd Shafie dan Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, yang mewakili Juhar pada 24 Okt.

Pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman terhadap Mohd Shafie, tetapi menariknya kembali. Bagaimanapun, pada Jun, beliau memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah, bahawa, antara lain, beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah seperti yang dilantik Yang Dipertua Negeri pada 10 Mei.

Saman pemula tidak memerlukan perbicaraan dan peguam daripada kedua-dua pihak hanya memfailkan hujah serta afidavit bagi mengemukakan kes mereka, manakala writ saman memerlukan perbicaraan dengan memanggil saksi untuk memberi keterangan.

Dalam saman pemulanya, Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan pengganti beliau, Mohd Shafie sebagai defendan kedua serta memohon perisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Musa juga memohon perisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan periystiharan bahawa tidak terdapat pembatalan atau pemecatan tentang pelantikannya.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa defendan pertama (Juhar) telah bertindak bercanggah dengan perlembagaan apabila melantik Mohd Shafie sebagai anggota Kabinet Negeri dan bahawa semua tindakan serta perkara yang dilakukan Mohd Shafie dan/atau yang dikatakan Kabinet beliau selepas apa yang dikatakan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri adalah tidak sah, terbatal dan tidak memberi kesan serta membawa kerosakan kepada kedua-dua defendan.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10? Mei setelah memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14, tetapi kehilangan majoriti apabila beberapa Adun daripada partinya (UMNO) dan parti komponen Barisan Nasional (UPKO) mengubah pendirian untuk memberi sokongan mereka kepada Parti Warisan Sabah pimpinan Mohd Shafie.

Berkaitan isu sama ada undi tidak percaya merupakan satu-satunya cara menentukan majoriti anggota dewan undangan negeri telah hilang kepercayaan, hakim itu berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohammad Nizar meletakkan prinsip undang-undang bahawa tiada keperluan mandatori bagi usul hilang kepercayaan diluluskan Dewan terhadap Ketua Menteri sebelum beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

“Fakta ini boleh disahkan melalui kuasa luar,” katanya.

Beliau juga berkata walaupun terdapat perbezaan dari segi fakta serta keadaan dalam kes Mohammad Nizar dan Perak adalah sebuah negeri raja berperlembagaan di mana Sultan mempunyai kuasa mutlak, manakala penggunaan budi bicara TYT (Yang di-Pertua Negeri) dihadkan Perkara 10(2)(a) mengenai pelantikan Ketua Menteri, tetapi prinsip undang-undang yang disebut Mahkamah Persekutuan tetap terpakai kepada kes ini kerana ia melibatkan isu sama iaitu mengenai siapakah Ketua Menteri yang sah.

Menyentuh perkara sama ada apabila plaintif enggan melepaskan jawatan maka beliau dianggap telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri, hakim itu berpendapat penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Perak telah mewujudkan prinsip undang-undang yang terpakai bagi kes semasa.

“Maka, perkataan “hendaklah” dalam Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah perlu diberikan kesan mandatori dan oleh itu plaintif, yang telah hilang kepercayaan majoriti di Dewan, perlu mengemukakan peletakan jawatan daripada Kabinet negeri. Keengganan plaintif untuk melepaskan jawatan setelah diminta berbuat demikian oleh defendan pertama, dengan jelas bertentangan dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara itu,” katanya.

Yew seterusnya berkata oleh kerana Musa enggan mengemukakan peletakan jawatan, maka beliau serta anggota Kabinet negeri dianggap telah melepaskan jawatan masing-masing dan oleh itu, membuka jalan kepada pembentukan sebuah Kabinet baharu.

“Justeru, pembubaran Kabinet negeri mengikut Perkara 7(1) tidak melibatkan TYT atau anggota DUN berkenaan.

“Berdasarkan sebab yang dinyatakan tadi, isu bahawa defendan pertama telah bertindak secara “ultra vires” terhadap Perlembagaan Negeri Sabah apabila memecat plaintif, tidak timbul langsung atas alasan bahawa Kabinet negeri, termasuk Ketua Menteri dianggap telah melepaskan jawatan masing-masing apabila Ketua Menteri enggan mengemukakan surat peletakan jawatannya setelah beliau hilang penguasaan tehadap majoriti,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa keabsahan keputusan TYT dari segi perlembagaan dalam melaksanakan kuasa beliau mengikut Perkara 6(3) untuk melantik Ketua Menteri, boleh dipersoalkan dan adalah sesuatu yang wajar.

Yew berkata isu lompat parti bukan bidang yang perlu diputuskan mahkamah dalam pertikaian ini dan perkara itu paling baik diserahkan kepada kebijaksanaan serta kehendak Parlimen untuk menghentikannya.

“Dengan ringkasan alasan yang diberikan itu, saya dengan ini menolak saman pemula yang difailkan Musa,” katanya.

Yew berkata, berikutan keputusan beliau dalam kes Musa itu, maka saman pemula yang difailkan Datuk Jahid @ Noordin Jahim, Adun Tamparuli, terhadap Mohd Shafie dan Juhar bagi mencabar pelantikan tersebut, juga ditolak.

Beliau memerintahkan Musa untuk membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Juhar dan Mohd Shafie kerana kes itu melibatkan kepentingan awam, manakala Datuk Jahid perlu membayar kos RM15,000 kepada Juhar dan Mohd Shafie. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply