Home Pertahanan dan Keselamatan 5 termasuk 3 warga asing ditahan disyaki terlibat kumpulan pengganas

5 termasuk 3 warga asing ditahan disyaki terlibat kumpulan pengganas

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu termasuk tiga warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas dalam operasi di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata kesemua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas PDRM dari 13 hingga 26 Okt lepas.

Menurutnya, suspek pertama lelaki warga Mesir berusia 50 tahun merupakan seorang Pengurus Eksekutif di sebuah syarikat di ibu negara ditahan pada 13 Okt lepas.

“Suspek merupakan bekas anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda semasa berada di Afganistan dari tahun 1988 sehingga 1993. Suspek pernah berjumpa dengan Osama Laden, pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda selain pernah ditangkap dan dipenjara di Kanada dan Mesir,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan kedua dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 20 Okt, melibatkan seorang lelaki warganegara sebuah negara di Timur Tengah berusia 31 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan.

Suspek berkenaan terlibat dalam kes ugutan bunuh terhadap seorang diplomat asing di ibu negara.

Beliau berkata, tangkapan ketiga di Setiawan, Perak pada 25 Okt melibatkan seorang lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun. Suspek terlibat dalam kumpulan pengganas Lashkar-E-Taiba yang berpangkalan di sebuah negara di Asia Selatan dan telah menyusup masuk ke negara ini pada Ogos 2016.

Mohamad Fuzi berkata, seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta turut ditahan di Gombak, pada hari yang sama suspek ketiga ditahan.

“Wanita itu dalam menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria) antara tahun 2014 hingga 2017 bagi tujuan aktiviti keganasan.

“Suspek kelima yang bekerja sebagai pengurus perkhidmatan di sebuah syarikat telekomunikasi itu turut terlibat dalam menyalurkan dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi serta Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina dari tahun 2015 hingga 2018 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan,” katanya.

Empat daripada suspek itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747), manakala suspek kedua ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply