Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Malaysia, Britain tamat latihan di Kem Pakit, Sri Aman

Tentera Malaysia, Britain tamat latihan di Kem Pakit, Sri Aman

by Nurulhuda

SRI AMAN, 28 Okt – Panglima 1 Division Mej Jen Datuk Toh Choon Siang bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell telah menyempurnakan Majlis Penutupan Eksesais Tiger Gold 2018, bertempat di Padang Kawad 13 RAMD, Kem Pakit di sini semalam.

Majlis penutupan ini telah disempurnakan dengan simbolik simulasi letupan dan pertukaran cenderamata tanda kenangan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Britain (TDB).

Eksesais itu berlangsung sejak 8 Okt dan berakhir semalam merangkumi latihan silang, latihan ikhtiar hidup dan latihan penyesuaian di Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD), Kem Pakit, Sri Aman, manakala latihan medan (FTX) dan latihan serangan akhir dilaksanakan di kawasan hutan simpan Lubuk Antu, Sri Aman, Sarawak.

Seramai 350 anggota kumpulan Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja bersama 120 anggota TDB, 31 anggota Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) dan 30 anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (sebagai musuh latihan) telah terlibat secara langsung dalam eksesais itu.

Panglima 1 Division Mej Jen Datuk Toh Choon Siang bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell telah menyempurnakan Majlis Penutupan Eksesais Tiger Gold 2018, di Padang Kawad 13 RAMD, Kem Pakit semalam. Foto: Berita Tentera Darat Malaysia.

Konsep latihan adalah tertumpu kepada peperangan melawan insurgensi (PMI) dalam situasi hutan dan muka bumi Malaysia yang melibatkan aturgerak pasukan 13 RAMD, satu kompeni TDB dari 2nd Battalion The Royal Gurkha Rifles dari Seria Camp, Brunei dan satu platun Rej 511 AW sebagai pelaku biru menentang satu kumpulan musuh yang dikawal sebagai pelaku merah dari 11 RAMD.

Latihan dan program jiwa murni yang dijadualkan di dalam takwim Eks Tiger Gold 2018 berjaya dilaksanakan dan ditutup dengan rasminya oleh H.E Madam Vicki Treadell, Kedutaan British di Malaysia. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply