Home Semasa Rumah remaja hamil luar nikah di Terengganu dilancarkan

Rumah remaja hamil luar nikah di Terengganu dilancarkan

by Nurulhuda

MARANG, 28 Okt – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini melancarkan Rumah Generasiku Sayang (RGKS) yang pertama di negeri  ini bagi memberi perlindungan kepada remaja yang hamil tanpa ikatan perkahwinan.

Pengarahnya Dr Mohd Jusoh berkata buat permulaan RGKS yang terletak di Bukit Payong, di sini hanya mampu menerima lapan penghuni pada satu-satu masa dan akan dikendalikan oleh kakitangan JKNT serta sukarelawan yang bergabung tenaga memberi perkhidmatan kepada remaja tidak bernasib baik.

“Program ini adalah satu inisiatif ‘safe motherhood’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu remaja hamil tanpa nikah mendapat rawatan antenatal, postnatal, psikososial, bimbingan kerohanian dan mengelakkan pengguguran haram.

“Ia mengambil model RGKS yang diperkenalkan negeri Johor bagi memberi perlindungan serta kesejahteraan kepada ibu dan bayi sebelum diteruskan di Kelantan. JKNT juga telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Generasiku Sayang (PKGKST) untuk tujuan pengurusan rumah itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran RGKS Negeri Terengganu ‘Raudhatul Nisaa’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd berkata RGKS yang beroperasi sejak 1 Okt lalu tidak hanya dibuka kepada remaja yang berasal dari negeri ini. Malah mereka dari luar yang mempunyai masalah kehamilan luar nikah dan tidak mempunyai hala tuju juga boleh mendapatkan bantuan.

“Saya nasihatkan kepada remaja yang mempunyai masalah janganlah mengambil tindakan melulu dengan menggugurkan kandungan terutama dengan membeli pil secara atas talian kerana ia bukan sahaja boleh membunuh bayi tetapi ibu itu sendiri berisiko akibat pendarahan yang teruk.

“Jika ada masalah, mereka sebenarnya boleh merujuk ke Klinik Kesihatan (KK) melalui program Klinik Mesra Remaja (KMR) yang telah dimulakan di KK Mercang dan KK Kuala Besut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua golongan masyarakat dan syarikat korporat untuk turut sama menyumbang dan mendaftarkan keahlian dengan PKGKST bagi membantu membiayai penjagaan RGK. -BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply