Beliau yang sedang dalam rangka lawatan dua hari ke Thailand berkata, konflik di selatan negara itu merupakan satu peluang kepada kedua-dua negara untuk mempamerkan semangat kesetiakawanan antara mereka.

“Kami berikrar untuk membantu dengan apa saja cara yang termampu bagi menamatkan keganasan di selatan Thailand. Saya amat yakin dengan kekuatan hubungan kerjasama antara kita dalam menyelesaikan masalah bersama, sejujurnya kami mahu membantu mengurangkan atau menamatkan terus masalah sepenuhnya,” katanya dalam satu persidangan media bersama dengan rakan sejawatannya Jen Prayut Chan-o-cha di bangunan pentadbiran kerajaan di sini pada Rabu.

Terdahulu kedua-dua pemimpin serta delegasi masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala di lokasi yang sama di mana mereka berbincang pelbagai isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Malaysia merupakan fasilitator kepada rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan Majlis Syura Patani (MARA Patani). – BERNAMA