Home Semasa Tanah runtuh: SAR diteruskan selepas pemeriksaan JMG

Tanah runtuh: SAR diteruskan selepas pemeriksaan JMG

by Nurulhuda

GEORGE TOWN, 21 Okt – Pasukan penyelamat akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Saadon Moktar berkata ketika ini pasukan JMG sedang membuat pemeriksaan di kawasan tanah runtuh bagi melihat sama ada terdapat sebarang pergerakan tanah di situ sebelum membenarkan pasukan penyelamat menyambung semula SAR hari ini.

“Selain itu, pasukan JMG akan membuat beberapa pemeriksaan lanjut termasuk beberapa kemungkinan lain sebelum membenarkan kami meneruskan operasi SAR untuk mencari lima mangsa yang masih tertimbus.

“Kami harap cuaca hari ini baik agar dapat meneruskan operasi di sektor ketiga yang dipercayai kemungkinan lima lagi mangsa tertimbus itu berada di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata kira-kira 100 anggota dan pegawai pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi seperti bomba, pasukan SMART, polis dan Angkatan Pertahanan Awam telah bersiap sedia untuk meneruskan operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply